14 August 2008

Wanita & Isteri...

Aku tertarik dengan posting dari blog abang aku...aku pon copy paste je la..:

Saya kerap terpegun melihat wanita. Agenda kehidupan mereka jauh berbeza berbanding lelaki. Majoriti daripada mereka mempunyai tanggungjawab besar. Sebelum suami membuka mata pada awal pagi, kebanyakan wanita berada dalam keadaan bersiap sedia.

“Bang, bangun dah subuh,” kata wanita itu.

“Oh! Dah subuh rupanya,” jawab suami sambil menggeliat menghabiskan sisa-sisa lena.

Sedangkan wanita itu siap sudah menunaikan solatnya. Sebaik selesai melipat telekung dan sejadah kedengaran anak kecilnya bersuara sambil berdiri di muka pintu.

“Mak, pensil semalam mana?”

“Bila pagi barulah nak mencari pensil,” sedikit rungut wanita itu.

Tetapi jika pensil tidak ditemui wanita itu tetap bersabar membantu mencari. Di dalam bilik, di bawah katil atau di belakang sofa. Sehingga pensil itu ditemui.

“Boleh tolong gosok baju abang?,” pinta suami.

“Kan semalam dah gosok dah baju,” balas wanita itu.

“Entah, rasa malas nak pakai baju tu, nak pakai baju ni,” ujar suami.

Biarpun dihatinya mungkin sedikit mengeluh, wanita itu tidak membantah. Baju ingin dipakai suami digosok dan kemudian diserahkan ke tangan lelaki ketua keluarganya.

“Ehem!,” terdengar suami bersuara.

Maka wanita itu selaku isteri bingkas ke dapur menyiapkan secawan kopi biar pun dia sendiri tidak berkesempatan untuk minum.

“Tie ni dah pakai semalam, ada tie lain tak?,” satu lagi tuntutan harus dipenuhi.

Berjalan ke almari, wanita itu secara sabar mencari tali leher suami pada masa sama memastikan kain baju berlipat tidak berselerak.

“Nah bang,” kata wanita itu lembut.

“Mak, semalam cikgu kata kena bawa duit lima ringgit, nak beli buku latihan,” ujar anak.

Sebelum ayah sempat berkata, beg duit wanita itu sedia di tangannya.

“Nah,” katanya.

“Mak, tuala mana?,” anak kedua bersuara dari dalam bilik mandi.

Tanpa berlengah wanita itu mencapai tuala. Bukan sekadar itu, jika anak masih kecil dia akan mengelapkan tubuhnya biar kering sebelum berbaju.

“Ada nampak kunci kereta abang tak?,” soal suami.

Ke hulu ke hilir wanita itu mencari. Di dalam laci, di kawasan berhampiran seluar semalam dipakai suami, di atas almari. Pergerakan wanita itu pantas sedangkan suami hanya berdiri, mata sekadar menjeling kawasan sekeliling.

Justeru, tidak salah bagi suami, sebelum keluar dari rumah bersama isteri untuk ke tempat kerja masing-masing pada pagi sama setiap hari, ucapkan penghargaan kepada wanita itu.

“Terima kasih kerana menjadi wanita itu dalam hidup ku”

No comments: